Tribute untuk Tok Ayah

Bismillah.

10 September bersamaan 10 Muharram, Tok Ayah saya telah pulang ke rahmatullah.

Tok Ayah, bapa kepada Mak saya. Namanya Abdul Wahab. Beliau adalah atuk kandung terakhir buat keluarga kami. Kiranya kehilangan beliau meninggalkan kekosongan besar dalam keluarga yang tak dapat lagi boleh diisi oleh sesiapa.

Antara terapi rindu adalah menulis. Menulis juga tempat merekod kenangan-kenangan agar kekal. Menulis juga tempat menyampaikan kebaikan. Jadi mungkin dengan menulis post ini, boleh menjadi medium mengubat rindu, mencatat kenangan dan menyampaikan kebaikan untuk dikongsi bersama. Moga kalau ia menjadi amal, boleh sampai pahalanya buat Tok Ayah.

Lima tahun belajar di luar negara, menjadikan peluang untuk bersama Tok Ayah tak banyak. Kalau pulang bercuti semester pun, selalunya ada urusan lain. Syukur kepulangan saya bulan March lalu, sempat bertemu Tok Ayah dan pada waktu itu beliau masih segar.

Kalau balik kampung, waktu yang paling seronok adalah waktu berborak dengan Tok Ayah. Ada banyak hal yang boleh dibualkan. Dari sejarah Jepun, sejarah pergi Haji naik kapal laut, sejarah Merdeka sehinggalah sejarah saudara mara, Tok Ayah boleh berkongsi dengan nadanya yang sentiasa semangat. Mungkin kerana dulu beliau adalah guru subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. Gaya cikgu-cikgu melekat pada perwatakannya. Walaupun pada cucu-cucu. Sampai sekarang orang kampung akan tanya kami “Ini cucu cikgu Wahab ko?” Saya bangga, saya cucu cikgu!

Tok Ayah antara guru al-Quran pertama saya dan adik-beradik. Saya masih boleh ajuk cara dia mengajar pada saat ini. Masih segar dalam ingatan. Kadang lucu. Kadang tegas. Beliau pandai melayan budak. Tok Ayah akan berlakon macam budak kecik bila bersama kanak-kanak. Itulah antara sunnah Nabi s.a.w yang segar pada dirinya. Saya masih ingat Tok Ayah berlakon merajuk masa saya kecil. “Ado oghe taknok kecek dengan Tok Ayoh.” Disebutnya dengan loghat budak-budak. Kalau dia datang rumah, kami suka betul. Sebab ada teman bermain. Tak pelik, bermain dengan orang tua sepertinya.

Tok Ayahlah antara motivasi saya untuk terus menghafal al-Quran. “Siapo hafal surah Ar-Rahman, dio bulih hafal seluruh al-Quran. Sebab surah Ar-Rahman ulang ayat samo banyok tempat. Bulih tertukar.” katanya. Saya gembira bukan kepalang bila berjaya hafal surah Ar-Rahman. Bermakna dah lepas ‘kayu ukur’ Tok Ayah. Beliau jugalah yang menangis kalau mendengar kami membaca al-Quran di depannya. Sayu mungkin melihat kami yang belajar alif Ba ta dengannya sudah boleh membaca lancar. Tok Ayah jugalah yang selalu ulang agar kami hafal surah-surah lazim. “Biar ada di mulut.” katanya. Dan itulah yang beliau amalkan sampai umur tua. Tok Ayah memang sahabat al-Quran. Dan beliau tak lelah melatih kami untuk mencintai al-Quran juga.

Tok Ayah adalah lelaki yang suka membaca. Hanya di penghujung usia, matanya sudah tidak jelas lagi untuk membaca tulisan di buku-buku. Tok Ayah melanggan majalah-majalah Qalam dan beberapa majalah lain sejak sebelum merdeka. Antara penulisnya adalah Za’ba dan Hamka. Tok Ayah hadiahkan koleksi majalah-majalah bertulisan jawi itu pada saya apabila saya berminat mahu membacanya. “Ambiklah kalau nok baco.” katanya. Kali terakhir saya bertemu Tok Ayah, saya pasangkan kuliah Hamka dan bagi beliau dengar melalui earphone. Tok Ayah menghayati sungguh-sungguh sambil mendengarnya. Kadang bila saya membaca tulisan Hamka, orang kedua yang hadir dalam kepala saya adalah Tok Ayah.

Mungkin kerana pembacaannya, visinya selalu besar. Dan Tok Ayah selalu sebut visinya kepada anak-anaknya melalui doa dan panggilan nama. Tok Ayah panggil anak-anaknya dengan panggilan ‘Ulamak’ ‘Doktor’ ‘Menteri.’ Dan sungguh, bila besar kebanyakkannya jadi seperti yang beliau zikirkan. “Jadilah pejuang-pejuang Islam.” Itu selalu di ulang-ulangnya.” Sesuai harapan Mak pada kami.

Hidupnya selalu sederhana. Berbaju melayu dan berkain pelekat. Hatinya melekat pada masjid. Suka bersedekah sembunyi-sembunyi. Tok Ayah ada banyak rumah dan tanah. Tok Ayah menolong muallaf yang belajar di PERKIM dengan memberikan mereka tempat tinggal dengan percuma. Sepanjang kami membesar di rumah Tok Ayah, ada jiran-jiran orang luar negara yang silih berganti. Merekalah saudara-saudara baru yang disantuni Tok Ayah.

Kalau orang memujinya, Tok Ayah ucap astaghfirullah. Sepanjang masa kalimah Alhamdulillah diulang-ulang. Walaupun kudratnya makin hari makin kurang. Dari boleh berjalan ke masjid, kemudian bertongkat, dan akhirnya hanya duduk di rumah berkerusi roda, tetap saja syukur menjadi penyubur semangatnya. Jari-jarinya diketik membilang zikir setiap masa. Sehingga kadang tidurnya pun dalam keadaan berzikir.

Lama Tok Ayah tahan sakit. Awal-awal dulu Tok Ayah sakit gout, darah tinggi dan kencing manis. Tapi bila mula dialisis, hilanglah penyakit lain-lain itu. Beberapa tahun Tok Ayah berulang-alik pusat dialisis. Tubuh kecilnya kadang bergetar menahan sakit bila Jururawat mahu mencucuk alat ke lengannya. Tok Ayah pesakit paling tua di wad dialisis HUSM. Entah apa perasaannya melihat orang-orang muda di sekelilingnya ada yang pergi dulu. Tok Ayah selalu ulang “Tok lamo doh Tok Ayoh ni.” Tapi semangat dan sabarnya antara sebab Tok Ayah panjang umur. Tahun-tahun yang dilaluinya menahan sakit, membasuh dosa-dosa Tok Ayah. Bagi kami sekeluarga, pemergian adalah satu kerehatan bagi dirinya. Lama benar Tok Ayah menahan sakit.

Kematian adalah kerehatan bagi orang Mukmin.

Ramai yang rasa benar kehilangan Tok Ayah. Ramai sanak sedara datang ke teratak Tok Ayah untuk memberikan penghormatan terakhir. Orangnya simple, seorang lelaki yang punya falsafah hidup dan menjalankannya dengan umur yang diberikan. Semoga kami dapat menggunakan umur yang masih ada dengan baik seperti Tok Ayah. Semoga dapat bertemu sekali lagi dalam keadaan yang lebih baik 🙂

“Jangan ucap selamat tinggal. Ucaplah jumpa lagi. Kau tidak di bumi, moga di syurga nanti.”

11.26, LPT mile marker 219.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s