Santap buku: Kenangan-kenanganku di Malaya, HAMKA.

“Kenapalah kita asyik buat bedah buku, kesian buku tu dibedah-bedah.” Kata seorang kakak yang cuba membawa kami memikirkan nama lain bagi terma bedah buku. ‘Bedah’ maksudnya kita potong dan bongkar isi dalamannya.

Penulisan kali ini bukan penulisan bedah buku. Bukan juga review. Sebab review lebih kepada berkongsi pendapat keseluruhan saya tentang sebuah buku. Objektif saya adalah mencuba mengorek manfaat dan berkongsi kelazatan ‘segera’ yang boleh diambil dari sebuah buku.

Untuk itu saya namakan penulisan ini ‘santap buku’, ambil yang sedap-sedap, kenyangkan akal dan hati. Lepas cukup zat, ia menjadi energi untuk bekerja dan beramal. Kerana itu santap buku adalah terma aktif dan produktif.

Buku HAMKA bertajuk ‘Kenangan-kenanganku di Malaya’ terbitan semula Jejak Tabiah bersama rakan penerbit IMAN adalah buku yang mahu disantap hari ini.

Saya membeli buku ini di PBAKL 2019 di reruai Jejak Tarbiah. Buku ini antara buku yang laku keras waktu itu. Sampai kena restock. MasyaAllah, mesti ada sebab istimewa mengapa buku ini diminati ramai.

Buat pencinta HAMKA, buku ini kalau sudah dibaca ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang.’ Kerana kali ini penulisannya bukan hanya kaya dengan fakta dan nasihat berguna seperti selalu, tetapi juga ada catatan peribadi Tuan HAMKA sendiri yang merekod suka duka dalam babak kehidupannya. Dari catatan itulah saya belajar bahawa HAMKA adalah seorang yang memperjuangkan sesuatu dengan cinta. Yang tidak mengenal warna dan nama. Cintanya kepada Bahasa Melayu membawanya ke medan Kongres Bahasa walaupun bukan sedikit perit yang beliau telan. Bukan mudah nak mengenali kisah hidup tokoh hebat ini. Dan buku ini membuka sedikit peluang itu.

Buat pencinta sejarah alam melayu dan buat mereka yang mencari harga diri menjadi seorang melayu pula, mungkin buku inilah yang dicari-cari selama ini. Saya masih ingat dalam satu konferans tentang sejarah kesusasteraan Melayu di Istanbul, saya mahu bertanya tentang kewujudan buku-buku dari manuskrip-manuskrip lama tentang sejarah alam melayu yang diterbitkan untuk bacaan masa kini di pasaran, seorang senior menahan saya dari bertanya, kerana menurut beliau memang buku seperti itu kurang dan sukar didapatkan.

Saya bertanya kerana saya cemburu melihat realiti di Turki yang giat dengan wacana-wacana sejarah Turki dan sasteranya. Buku-buku lama yang masyhur dibaca oleh muda-mudi di mana-mana. Bahkan di universiti-universiti, subjek-subjek berkaitan dengan sejarah bangsa Turki dan sastera diajarkan secara wajib, akses kepada teks-teks lama yang menaikkan izzah bangsa dan negara terasa dekat dengan masyarakat umum. Kata orang, bangsa yang tidak tahu sejarah, ibarat anak yang tidak mengenal bapa dan keturunannya.

Buku Kenangan-kenanganku di Malaya ada mencatat kejadian-kejadian utama yang membina urat sendi Malaysia hari ini; dari kurun ke 14 sehingga selepas merdeka. Yang menariknya HAMKA juga menceritakannya dengan menambah perspektif dari sejarah Indonesia, satu negara yang rumpun budayanya sama dengan Malaysia. Membacanya membuat kita lebih menghargai usaha pejuang kemerdekaan dahulu dan lebih memaknai kemerdekaan yang telah kita kecapi sehingga hari ini. Sejarah adalah pengenalan kewujudan kita hari ini, mengenali sejarah adalah mengenali diri sendiri.

Buku ini bagi saya adalah tanda kasih sayang. Tanda cinta HAMKA pada rakyat Malaysia dan pada generasi yang bakal hadir nanti. Kita akan mengetahui apa yang menyebabkan HAMKA sangat mencintai Malaysia apabila membaca buku ini. Satu rasa kasih yang tidak mengurangkan Indonesianya beliau, malah membuktikan beliau adalah pejuang tanah air dan bangsanya yang sejati. Bak kata Anis Matta dalam buku Serial Cinta, cinta itu ada banyak jenis, ‘cinta jiwa’ adalah lahir dari kesamaan dan kegenapan watak jiwa. Mungkin HAMKA menulis buku ini dengan cinta jiwa, kecintaan yang lahir dari rasa persamaan yang sangat mesra dan erat.

Membaca buku ini juga seperti membaca surat cinta dari seorang bapa kepada anaknya untuk lebih mengenali dan menghargai kehidupan. Banyak nasihat HAMKA selitkan, baik berkisar hal agamanya, bahasanya, budi dan budayanya; hal-hal kecil kehidupan yang menjadi akar peribadi disentuh oleh HAMKA dengan bahasa yang sangat mempesona. HAMKA seakan menulisnya dengan bahasa pengalaman. Bahasa kehidupan yang mudah menyentuh kehidupan juga.

Betapa saya harap buku ini dibaca oleh pelajar-pelajar kita sejak tingkatan 3 sekolah menengah. Kerana pada zaman saya, subjek Sejarah antara subjek yang dipaksa-paksa untuk dihadam dan dihafal dengan tarikh-tarikh dan nama-nama perjanjian yang seakan tidak hidup. Buku ini seperti memberi wajah baru buat sejarah Malaysia. Nama-nama seperti Dol Said bukan lagi nama yang digambarkan sebagai pemberontak British hanya kerana membantah bayaran cukai. Tetapi mereka adalah pewira yang berjuang dengan jiwa dan raga.

Membaca buku ini juga menggemburkan rasa cinta pada bahasa. Bahasa yang kita pakai hari ini bukan terbentuk secara mudah seperti memetik jari. Bahkan ia hasil perahan otak pemikir dan pakar-pakar yang mengambil kira segenap segi dan akibat sebelum mempersembahkannya untuk kegunaan kita. Membaca sedikit dari perjalanan perkembangan Bahasa Melayu tulisan HAMKA dalam buku ini menumbuhkan rasa syukur terhadap kewujudan Bahasa Melayu versi hari ini. Dan syukur kerap kali menjadikan manusia berbuat sebaiknya dan sewajarnya.

Buku ini bagi saya buku yang hidup dan menghidupkan. Semoga Jejak Tarbiah dan penerbit-penerbit lain sudi terjemahkan/terbit semula penulisan-penulisan pemikir-pemikir Melayu lama untuk dibaca oleh masyarakat kita. Falsafah kaya mereka sayang kalau tidak dimasyhurkan dalam masyarakat.

14.20, Gombak, Malaysia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s