Santap buku: Aku Terima Nikahnya.

Masa tengah menulis ni, saya di stesen lrt Gombak. Menunggu bas T200 ke UIA.

Sempat menghabiskan bacaan buku Aku Terima Nikahnya di sini. Segan juga membacanya dalam tren tadi. Tajuknya catchy.

Buku terbitan Galeri Ilmu ini dicetak pada tahun 2008. Karya Ustaz Hasrizal kira-kira 11 tahun lalu. Siapa yang mengikuti penulisan Ustaz Hasrizal pasti perasan, corak dan gaya penulisan Ustaz banyak berubah. Makin lama makin basah dengan ilmu. Mengenyangkan hati dan perasaan.

Apa ada pada buku ini? Tajuk dan warna buku ini sweet. Tetapi isinya di luar jangkaan. Bagi yang menunggu isi yang terlalu romantik, ini bukan bukunya.

Buku Aku Terima Nikahnya banyak menceritakan realiti yang bakal ada setelah perkahwinan. Semuanya berkisar dengan kisah suka duka, cinta dan tanggungjawab.

Saya pernah mendengar satu quote yang berbunyi:

“Men get married because they are boring, woman get married because they are curious.”

Bila baca buku ini, saya boleh relate keyataan itu. Buku ini juga ada berikan sedikit gambaran tentang psikoloji lelaki dan perempuan dalam perkahwinan. Lebih menarik, penulis berkongsi cadangan buku-buku best untuk dibaca berkaitan dengannya.

Bagi saya, kalaupun tidak berkahwin, elok juga buku ini jadi bahan bacaan. Agar kita boleh memahami sedikit sebanyak cabaran yang dihadapi orang-orang yang telah berkahwin. Sambil melatih empati, sambil-sambil itu kita membuat persiapan.

Oh ya, buku ini ada tiga jilid sebenarnya. Dalam versi lama, tiga jilid itu dibukukan dengan tajuk berbeza. Apa lagi, jom lompat buku seterusnya.

#selamatmembaca.

Advertisements

Terima Kasih Labah-labah.

Saya baru mengikat kain apron di badan. Api dapur dah dihidupkan. Sekejap lagi akan menggoreng ayam yang Mak pesan pagi tadi.

Tiba-tiba anak saudara saya Syifa berkata: “Eiii ada Labah-labah lah kat situ.”

Saya melihat ke arah yang dia tunjuk. Memang ada sawang besar di situ. Saya membalas: “Besarnya labah-labah tu, dah tua rasanya.” Sengaja memberi andaian fizikal.

“Kakak tak suka labah-labah.” Anak saudara memberikan statement jujur.

“Kenapa tak suka? Labah-labah ni bagus.” Tangan saya mencapai pinggan buat menghidang gorengan nanti.

“Apa yang bagusnya?” Nadanya mempersoalkan.

“Labah-labah nilah yang makan nyamuk, lalat dan serangga-serangga lain. Dia tangkap pakai rumah dia.” Info saintifik diberikan.

“Labah-labah pun pernah tolong Nabi Muhammad. Kakak pernah dengar cerita tu? Saya bertanya.

“Tak.” Jawabnya.

“Nak dengar? Jom ikut Cikya.” Saya mengajaknya ke dapur belakang rumah.

Maka bermulalah omelan saya menceritakan kisah ‘baiknya’ labah-labah yang membina rumahnya di pintu gua hira’. Saya beritahu bahawa rumah labah-labah dibina di tempat yang lama tak disentuh dan disapu. Sengaja memberi gambaran itu agar dapat sentuh sense of cleanliness.

Labah-labah membina rumah di depan Gua Hira’ sehingga musuhnya tidak terfikir untuk menjenguk ke dalam gua. Sangka mereka gua ini dah lama tak diduduki makhluk. Buktinya? Rumah labah-labah itu!

Syifa’ mendengar kisah saya dengan teruja. Matanya dibulatkan. Saya mengakhirkan cerita dengan bertanya:

“Jadi baik tak labah-labah ni?” Saya bertanya.

Syifa’ mengangguk. Rasa kepuasan terlihat di wajahnya.

Saya mahu Syifa’ dapat gambaran, makhluk seperti labah-labah itupun ada kebaikannya. Untung kalau satu hari nanti Syifa’ dapat dalami sirah, mungkin dia boleh kaitkan bahawa apa saja makhluk yang Allah ciptakan pasti dengan sebab. Tidak sia-sia.

Sebenarnya saya dah lama tak pakai teknik bercerita apabila melayani budak-budak. Terasa bosan bila tiap-tiap hari hanya mengulang aktiviti sama. Melukis, membaca, bermain dan menonton TV itu mereka boleh buat tanpa orang dewasa. Biarlah kewujudan kita ada nilai tambah untuk mereka. Agar waktu bersama lebih berharga.

Apabila bersama kita, itulah peluang keemasan untuk kita berinteraksi dengan anak-anak secara aktif. Kadang kita kehabisan idea bagaimana mahu menggunakan peluang itu sebaiknya. Kita tercari-cari aktiviti yang interaktif, agar kita tidak menjadi orang dewasa yang membosankan di mata anak-anak. Biar kalau mendidik, anak ada ‘hati’ mahu mendengar.

Mujur Syifa’ ingatkan saya tentang labah-labah itu. Ada lah modal untuk bercerita. Dapatlah mengisi masa dengan baik. Walaupun sambil menggoreng ayam.

Terima kasih labah-labah!

Santap buku: Kenangan-kenanganku di Malaya, HAMKA.

“Kenapalah kita asyik buat bedah buku, kesian buku tu dibedah-bedah.” Kata seorang kakak yang cuba membawa kami memikirkan nama lain bagi terma bedah buku. ‘Bedah’ maksudnya kita potong dan bongkar isi dalamannya.

Penulisan kali ini bukan penulisan bedah buku. Bukan juga review. Sebab review lebih kepada berkongsi pendapat keseluruhan saya tentang sebuah buku. Objektif saya adalah mencuba mengorek manfaat dan berkongsi kelazatan ‘segera’ yang boleh diambil dari sebuah buku.

Untuk itu saya namakan penulisan ini ‘santap buku’, ambil yang sedap-sedap, kenyangkan akal dan hati. Lepas cukup zat, ia menjadi energi untuk bekerja dan beramal. Kerana itu santap buku adalah terma aktif dan produktif.

Buku HAMKA bertajuk ‘Kenangan-kenanganku di Malaya’ terbitan semula Jejak Tabiah bersama rakan penerbit IMAN adalah buku yang mahu disantap hari ini.

Saya membeli buku ini di PBAKL 2019 di reruai Jejak Tarbiah. Buku ini antara buku yang laku keras waktu itu. Sampai kena restock. MasyaAllah, mesti ada sebab istimewa mengapa buku ini diminati ramai.

Buat pencinta HAMKA, buku ini kalau sudah dibaca ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang.’ Kerana kali ini penulisannya bukan hanya kaya dengan fakta dan nasihat berguna seperti selalu, tetapi juga ada catatan peribadi Tuan HAMKA sendiri yang merekod suka duka dalam babak kehidupannya. Dari catatan itulah saya belajar bahawa HAMKA adalah seorang yang memperjuangkan sesuatu dengan cinta. Yang tidak mengenal warna dan nama. Cintanya kepada Bahasa Melayu membawanya ke medan Kongres Bahasa walaupun bukan sedikit perit yang beliau telan. Bukan mudah nak mengenali kisah hidup tokoh hebat ini. Dan buku ini membuka sedikit peluang itu.

Buat pencinta sejarah alam melayu dan buat mereka yang mencari harga diri menjadi seorang melayu pula, mungkin buku inilah yang dicari-cari selama ini. Saya masih ingat dalam satu konferans tentang sejarah kesusasteraan Melayu di Istanbul, saya mahu bertanya tentang kewujudan buku-buku dari manuskrip-manuskrip lama tentang sejarah alam melayu yang diterbitkan untuk bacaan masa kini di pasaran, seorang senior menahan saya dari bertanya, kerana menurut beliau memang buku seperti itu kurang dan sukar didapatkan.

Saya bertanya kerana saya cemburu melihat realiti di Turki yang giat dengan wacana-wacana sejarah Turki dan sasteranya. Buku-buku lama yang masyhur dibaca oleh muda-mudi di mana-mana. Bahkan di universiti-universiti, subjek-subjek berkaitan dengan sejarah bangsa Turki dan sastera diajarkan secara wajib, akses kepada teks-teks lama yang menaikkan izzah bangsa dan negara terasa dekat dengan masyarakat umum. Kata orang, bangsa yang tidak tahu sejarah, ibarat anak yang tidak mengenal bapa dan keturunannya.

Buku Kenangan-kenanganku di Malaya ada mencatat kejadian-kejadian utama yang membina urat sendi Malaysia hari ini; dari kurun ke 14 sehingga selepas merdeka. Yang menariknya HAMKA juga menceritakannya dengan menambah perspektif dari sejarah Indonesia, satu negara yang rumpun budayanya sama dengan Malaysia. Membacanya membuat kita lebih menghargai usaha pejuang kemerdekaan dahulu dan lebih memaknai kemerdekaan yang telah kita kecapi sehingga hari ini. Sejarah adalah pengenalan kewujudan kita hari ini, mengenali sejarah adalah mengenali diri sendiri.

Buku ini bagi saya adalah tanda kasih sayang. Tanda cinta HAMKA pada rakyat Malaysia dan pada generasi yang bakal hadir nanti. Kita akan mengetahui apa yang menyebabkan HAMKA sangat mencintai Malaysia apabila membaca buku ini. Satu rasa kasih yang tidak mengurangkan Indonesianya beliau, malah membuktikan beliau adalah pejuang tanah air dan bangsanya yang sejati. Bak kata Anis Matta dalam buku Serial Cinta, cinta itu ada banyak jenis, ‘cinta jiwa’ adalah lahir dari kesamaan dan kegenapan watak jiwa. Mungkin HAMKA menulis buku ini dengan cinta jiwa, kecintaan yang lahir dari rasa persamaan yang sangat mesra dan erat.

Membaca buku ini juga seperti membaca surat cinta dari seorang bapa kepada anaknya untuk lebih mengenali dan menghargai kehidupan. Banyak nasihat HAMKA selitkan, baik berkisar hal agamanya, bahasanya, budi dan budayanya; hal-hal kecil kehidupan yang menjadi akar peribadi disentuh oleh HAMKA dengan bahasa yang sangat mempesona. HAMKA seakan menulisnya dengan bahasa pengalaman. Bahasa kehidupan yang mudah menyentuh kehidupan juga.

Betapa saya harap buku ini dibaca oleh pelajar-pelajar kita sejak tingkatan 3 sekolah menengah. Kerana pada zaman saya, subjek Sejarah antara subjek yang dipaksa-paksa untuk dihadam dan dihafal dengan tarikh-tarikh dan nama-nama perjanjian yang seakan tidak hidup. Buku ini seperti memberi wajah baru buat sejarah Malaysia. Nama-nama seperti Dol Said bukan lagi nama yang digambarkan sebagai pemberontak British hanya kerana membantah bayaran cukai. Tetapi mereka adalah pewira yang berjuang dengan jiwa dan raga.

Membaca buku ini juga menggemburkan rasa cinta pada bahasa. Bahasa yang kita pakai hari ini bukan terbentuk secara mudah seperti memetik jari. Bahkan ia hasil perahan otak pemikir dan pakar-pakar yang mengambil kira segenap segi dan akibat sebelum mempersembahkannya untuk kegunaan kita. Membaca sedikit dari perjalanan perkembangan Bahasa Melayu tulisan HAMKA dalam buku ini menumbuhkan rasa syukur terhadap kewujudan Bahasa Melayu versi hari ini. Dan syukur kerap kali menjadikan manusia berbuat sebaiknya dan sewajarnya.

Buku ini bagi saya buku yang hidup dan menghidupkan. Semoga Jejak Tarbiah dan penerbit-penerbit lain sudi terjemahkan/terbit semula penulisan-penulisan pemikir-pemikir Melayu lama untuk dibaca oleh masyarakat kita. Falsafah kaya mereka sayang kalau tidak dimasyhurkan dalam masyarakat.

14.20, Gombak, Malaysia.

Tribute untuk Tok Ayah

Bismillah.

10 September bersamaan 10 Muharram, Tok Ayah saya telah pulang ke rahmatullah.

Tok Ayah, bapa kepada Mak saya. Namanya Abdul Wahab. Beliau adalah atuk kandung terakhir buat keluarga kami. Kiranya kehilangan beliau meninggalkan kekosongan besar dalam keluarga yang tak dapat lagi boleh diisi oleh sesiapa.

Antara terapi rindu adalah menulis. Menulis juga tempat merekod kenangan-kenangan agar kekal. Menulis juga tempat menyampaikan kebaikan. Jadi mungkin dengan menulis post ini, boleh menjadi medium mengubat rindu, mencatat kenangan dan menyampaikan kebaikan untuk dikongsi bersama. Moga kalau ia menjadi amal, boleh sampai pahalanya buat Tok Ayah.

Lima tahun belajar di luar negara, menjadikan peluang untuk bersama Tok Ayah tak banyak. Kalau pulang bercuti semester pun, selalunya ada urusan lain. Syukur kepulangan saya bulan March lalu, sempat bertemu Tok Ayah dan pada waktu itu beliau masih segar.

Kalau balik kampung, waktu yang paling seronok adalah waktu berborak dengan Tok Ayah. Ada banyak hal yang boleh dibualkan. Dari sejarah Jepun, sejarah pergi Haji naik kapal laut, sejarah Merdeka sehinggalah sejarah saudara mara, Tok Ayah boleh berkongsi dengan nadanya yang sentiasa semangat. Mungkin kerana dulu beliau adalah guru subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. Gaya cikgu-cikgu melekat pada perwatakannya. Walaupun pada cucu-cucu. Sampai sekarang orang kampung akan tanya kami “Ini cucu cikgu Wahab ko?” Saya bangga, saya cucu cikgu!

Tok Ayah antara guru al-Quran pertama saya dan adik-beradik. Saya masih boleh ajuk cara dia mengajar pada saat ini. Masih segar dalam ingatan. Kadang lucu. Kadang tegas. Beliau pandai melayan budak. Tok Ayah akan berlakon macam budak kecik bila bersama kanak-kanak. Itulah antara sunnah Nabi s.a.w yang segar pada dirinya. Saya masih ingat Tok Ayah berlakon merajuk masa saya kecil. “Ado oghe taknok kecek dengan Tok Ayoh.” Disebutnya dengan loghat budak-budak. Kalau dia datang rumah, kami suka betul. Sebab ada teman bermain. Tak pelik, bermain dengan orang tua sepertinya.

Tok Ayahlah antara motivasi saya untuk terus menghafal al-Quran. “Siapo hafal surah Ar-Rahman, dio bulih hafal seluruh al-Quran. Sebab surah Ar-Rahman ulang ayat samo banyok tempat. Bulih tertukar.” katanya. Saya gembira bukan kepalang bila berjaya hafal surah Ar-Rahman. Bermakna dah lepas ‘kayu ukur’ Tok Ayah. Beliau jugalah yang menangis kalau mendengar kami membaca al-Quran di depannya. Sayu mungkin melihat kami yang belajar alif Ba ta dengannya sudah boleh membaca lancar. Tok Ayah jugalah yang selalu ulang agar kami hafal surah-surah lazim. “Biar ada di mulut.” katanya. Dan itulah yang beliau amalkan sampai umur tua. Tok Ayah memang sahabat al-Quran. Dan beliau tak lelah melatih kami untuk mencintai al-Quran juga.

Tok Ayah adalah lelaki yang suka membaca. Hanya di penghujung usia, matanya sudah tidak jelas lagi untuk membaca tulisan di buku-buku. Tok Ayah melanggan majalah-majalah Qalam dan beberapa majalah lain sejak sebelum merdeka. Antara penulisnya adalah Za’ba dan Hamka. Tok Ayah hadiahkan koleksi majalah-majalah bertulisan jawi itu pada saya apabila saya berminat mahu membacanya. “Ambiklah kalau nok baco.” katanya. Kali terakhir saya bertemu Tok Ayah, saya pasangkan kuliah Hamka dan bagi beliau dengar melalui earphone. Tok Ayah menghayati sungguh-sungguh sambil mendengarnya. Kadang bila saya membaca tulisan Hamka, orang kedua yang hadir dalam kepala saya adalah Tok Ayah.

Mungkin kerana pembacaannya, visinya selalu besar. Dan Tok Ayah selalu sebut visinya kepada anak-anaknya melalui doa dan panggilan nama. Tok Ayah panggil anak-anaknya dengan panggilan ‘Ulamak’ ‘Doktor’ ‘Menteri.’ Dan sungguh, bila besar kebanyakkannya jadi seperti yang beliau zikirkan. “Jadilah pejuang-pejuang Islam.” Itu selalu di ulang-ulangnya.” Sesuai harapan Mak pada kami.

Hidupnya selalu sederhana. Berbaju melayu dan berkain pelekat. Hatinya melekat pada masjid. Suka bersedekah sembunyi-sembunyi. Tok Ayah ada banyak rumah dan tanah. Tok Ayah menolong muallaf yang belajar di PERKIM dengan memberikan mereka tempat tinggal dengan percuma. Sepanjang kami membesar di rumah Tok Ayah, ada jiran-jiran orang luar negara yang silih berganti. Merekalah saudara-saudara baru yang disantuni Tok Ayah.

Kalau orang memujinya, Tok Ayah ucap astaghfirullah. Sepanjang masa kalimah Alhamdulillah diulang-ulang. Walaupun kudratnya makin hari makin kurang. Dari boleh berjalan ke masjid, kemudian bertongkat, dan akhirnya hanya duduk di rumah berkerusi roda, tetap saja syukur menjadi penyubur semangatnya. Jari-jarinya diketik membilang zikir setiap masa. Sehingga kadang tidurnya pun dalam keadaan berzikir.

Lama Tok Ayah tahan sakit. Awal-awal dulu Tok Ayah sakit gout, darah tinggi dan kencing manis. Tapi bila mula dialisis, hilanglah penyakit lain-lain itu. Beberapa tahun Tok Ayah berulang-alik pusat dialisis. Tubuh kecilnya kadang bergetar menahan sakit bila Jururawat mahu mencucuk alat ke lengannya. Tok Ayah pesakit paling tua di wad dialisis HUSM. Entah apa perasaannya melihat orang-orang muda di sekelilingnya ada yang pergi dulu. Tok Ayah selalu ulang “Tok lamo doh Tok Ayoh ni.” Tapi semangat dan sabarnya antara sebab Tok Ayah panjang umur. Tahun-tahun yang dilaluinya menahan sakit, membasuh dosa-dosa Tok Ayah. Bagi kami sekeluarga, pemergian adalah satu kerehatan bagi dirinya. Lama benar Tok Ayah menahan sakit.

Kematian adalah kerehatan bagi orang Mukmin.

Ramai yang rasa benar kehilangan Tok Ayah. Ramai sanak sedara datang ke teratak Tok Ayah untuk memberikan penghormatan terakhir. Orangnya simple, seorang lelaki yang punya falsafah hidup dan menjalankannya dengan umur yang diberikan. Semoga kami dapat menggunakan umur yang masih ada dengan baik seperti Tok Ayah. Semoga dapat bertemu sekali lagi dalam keadaan yang lebih baik ๐Ÿ™‚

“Jangan ucap selamat tinggal. Ucaplah jumpa lagi. Kau tidak di bumi, moga di syurga nanti.”

11.26, LPT mile marker 219.

Jangan malu bercita-cita lagi.

Bismillah.

Gambar ini gambar tahun 2014, gambar masa program pre departure saya dan 11 lagi kawan-kawan sebelum kami berangkat ke Turki.

Semua orang perlu tulis nama dan kuliah yang mahu dimasuki di Turki nanti. Pada waktu itu tempat kami di Turki masih belum terjamin. Namun kami diminta tuliskannya juga, sebagai satu cara menjelaskannya pada pandangan mata kami.

Kini gambar ini tinggal sejarah. Lima tahun kemudian, ada di antara kawan-kawan berjaya capai apa yang dikehendaki sesuai yang ditulis. Ada yang awalnya dapat, kemudian perlu menukar pilihan. Ada yang mencuba berkali-kali untuk menjadikan sebaris cita-cita itu realiti. Ada yang mendapat sebaliknya tapi ternyata itulah yang mengeluarkan potensi terbaik mereka.

Tiada siapa pun dapat meneka itu semua lima tahun yang lalu. Namun kami semua tidak rasa rugi sedikitpun memiliki cita-cita lama itu. Biarlah cita-cita itu digantung tanpa ilmu, atau tanpa perancangan teliti, ataupun kerana terpaksa, tetap saja itu langkah awal kami. Itulah tanda kesediaan kami menghadapi masa depan; iaitu dengan punya cita-cita.

Cita-cita adalah pemula progres. Hasil memang boleh jadi tidak seperti yang dikehendaki, tetapi progres lah yang menghantar manusia ke depan

Cita-cita adalah duit untuk membeli usaha.

Ia adalah salah satu manifestasi semangat.

Ia adalah salah satu energi orang yang tak mahu berputus asa.

Sengaja menulis semula tentang cita-cita, kerana kini saya sudah bergraduasi. Bermakna sudah perlu menentukan arah tuju kehidupan semula.

Semoga diri ini tidak malu untuk bercita-cita lagi, walaupun saya tidak dapat meneka apa yang bakal berlaku lima tahun mendatang.

Projek BFG: Sekilas Muhasabah.

“Qayya, boleh mula post mortem.” Kata Kak Amal.

“Lah, kena ada post mortem eh? Qayya ingat tak payah sebab projek kecil je.” jawab saya. Antara segan dan malas. hahaha.

“Buatlah, biar rasa proper sikit.” Kata Kak Amal.

Cadangan Kak Amal sukar untuk diabaikan, sebab selalunya mesti ada impak yang gempak. Maka, saya turutkan jua.

“Orait jom kita mula. Bismillah.” kata saya kepada teman-teman sukarelawan, pada waktu itu kami berkumpul di Choco Loqma di Capa seusai projek. Kak Amal belanja. Terharu sungguh.

Semua mula beri perhatian.

“Macam mana nak mula eh? Qayya dah lupa dah format post mortem.” Haha, kantoi lama dah tak join projek.

“Post mortem ni kita kongsi apa kita belajar, dan cadangan penambahbaikan.” Lebih kurang begitulah terang Kak Amal.

“Okay, boleh tak qayya nak semua orang kongsi tiga benda. Pertama, kenapa korang join projek ni. Kedua, apa yang korang dapat dari projek ni. Ketiga, cadangan penambahbaikan.”

Semua setuju. Maka bermulalah sesi perkongsian. Bermula dari Kak Sadiqa, Hamzatul Amirah, Umairah, Humaira, Haziqah, Fatini, Hanis, Kak Amal dan saya.

Sumpah, setiap satu perkongsian itu menyuap jiwa saya zat-zat yang membuat saya rasa gemuk! Gemuk semangat ahaha.

Kak Sadiqa bagi satu ayat yang menyentap kesedaran saya. Katanya; “Kalau kita ada niat nak bantu orang, Allah akan buka jalan untuk kita.” Awalnya Kak Sadiqa nak bagi sumbangan duit, tapi sedihnya bank dia ada masalah. Tapi Allah bagi yang lebih baik. Dia tak sangka, dia boleh join projek hari ini yang mana dia turut serta last minute. MasyaAllah untuk Kak Sadiqa. Betapa murni niat dia. Kami pun bahagia sepanjang Kak Sadiqa ada, kering gusi ketawa dengar Kak Sadiqa buat lawak.

Hamzatul pula berkongsi bagaimana kerja-kerja sukarelawan ini adalah peluang yang perlu digunakan sebaiknya masa tengah belajar. Sebab bila dah habis belajar nanti mungkin dah tak banyak ruang untuk sertai program-program macam ni. Kata Hamzatul, masa muda inilah kita ada masa dan tenaga, kita kena gunakan sebaiknya. Tabik pada Hamzatul, dia antara orang pertama yang semangat nak join projek ini masa saya iklankan awal-awal tu. Sabiqun Awwalun sungguh.

Umairah yang merupakan partner saya pula menyatakan rasa syukur dia dapat peluang sertai Projek BFG sebab dapat lihat sendiri keadaan orang yang lagi susah. Ia menjadi didikan jiwa untuk menjadi orang yang lebih bersyukur. Kebetulan saya terserempak hadis yang berbunyi;

ุงุฐุง ู†ุธุฑ ุงุญุฏูƒู… ุงู„ู‰ ู…ู† ูุถู„ ุนู„ูŠู‡ ููŠ ุงู„ู…ุงู„ ูˆุงู„ุฎู„ู‚ ูู„ูŠู†ุธุฑ ุฅู„ู‰ ู…ู† ู‡ูˆ ุฃุณูู„ ู…ู†ู‡

“Jika salah seorang di antara kalian melihat orang yang memiliki kelebihan harta dan bentuk(rupa), maka lihatlah kepada orang yang berada di bawahnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kalimah ุฅุฐุง dalam hadis ini berfungsi sebagai Hurut asy-Syart. Yang mana seperti mahu bagitahu “SETIAP KALI kamu melihat orang lain lebih dari kamu, SETIAP KALI ITULAH ingat orang yang lebih kekurangan dari kamu.” Sayu saya memikirkan hadis ini, kerana setiap hari kita scroll instagram dan berasa orang lain lebih bahagia dan sempurna, sehingga kita kerap lupa bahawa ada orang mengimpikan untuk berada di tempat kita.

Allah razฤฑ olsun Umai.

Humaira pula berkongsi rasa seronok dia dapat beraktivitas dalam program sukarelawan macam ni. Moga ada yang sudi buat banyak lagi platform untuk mengisi relung-relung kosong jiwa adik-adik ini. Mungkin mereka sendiri boleh bina platform tersendiri satu hari nanti ๐Ÿ™‚ Humaira kongsi semula point yang saya cerita pada dia. Masa itu kami menuruni bukit ke rumah Kak Amal, saya cakap “Makcik akak datag Turki dan tengok orang-orang kutip sampah ni, dia kata diaorang ni cepat masuk syurga. Sebab pakai tulang empat kerat cari rezeki.” Kata Humaira, macam kita semua kadang pakai otak je untuk dapat gaji, ada orang usaha pakai segenap kudrat mencari rezeki Tuhan. Kadang kita rasa keadaan mereka dhaif, tapi ada keuntungan yang terselindung buat mereka.

Haziqah pula bercerita bahawa dia sertai projek ini untuk cari pengalaman. Dia kongsi satu tip yang bagi saya sangat berguna iaitu kalau nak buat grouping sukarelawan dalam bentuk berpasangan, kalau seorang itu pendiam, biarlah yang seorang lagi suka bercakap. Biar saling melengkapi untuk cepatkan kerja. Kesian Haziqah dan Fatini, dua-dua pemalu, habis sampai ke Tophane mereka jalan untuk cari penerima sumbangan. Terima Kasih dik!

Fatini pula memulakan dengan ayat menyakat. “Saya join projek ni sebab projek Ruqayya memang kena join.” Haha, bertuah. Tapi tanpa sokongan kawan-kawan terdekat macam Fatini, memang projek ini hanya tinggal mimpi. Orang kata 80% kejayaan seseorang terbentuk dari pengaruh 20% daripada kawan-kawan yang berada di sekelilingnya. Allah hepinizden razฤฑ olsun.

Fatini kata dia sertai projek ini sebagai aktiviti sebelum back for good. Dia kata apa yang dia belajar, tak semua pengutip sampah tu pakaian dia kotor. Ada je yang kemas elok siap boleh lepak minum teh. Fatini kata sebab tu dia paling lambat habis distribute sumbangan. Sebab dia nak cari yang betul-betul kekurangan. Kebetulan dalam pek kebersihan ada baju baru. Sesuai sangat usaha Fatini cari sampai jumpa orang yang betul-betul nampak memerlukan.

Hanis pula berkongsi rasa beruntung dapat berinteraksi sendiri dengan orang-orang yang mengutip sampah. Katanya dapat lebih menjiwai bagaimana untuk bersyukur. Hanis ini penyegan orangnya, tapi dia antara yang paling cepat memberi respon kalau diajak bergerak. Saya yakin dia ada point penting, tapi saya ralit mencatat benda lain masa tu. Aduh!

Macam biasa, walaupun Kak Amal yang terakhir, perkongsian Kak Amal lah paling berbisa. Paling menambah makna buat projek kami. Mungkin sebab Kak Amal ada banyak sangat pengalaman kerja-kerja sukarelawan, kiranya sukarelawan sejati lah.

Kak Amal cerita dia sukarela nak sertai pun sebab dia memang suka kerja-kerja sukarelawan. Sebab rasa bahagia lagi bila dapat memberi. Kerja sukarelawan ini tempat membina softskill. Satu benda yang tak diajarkan dalam silibus pembelajaran sekolah. Kata Kak Amal, kerja sukarelawan ini semua orang boleh buat, bukan kerja kerajaan je. Ada banyak idea untuk sampaikan kebaikan. Macam idea Hamzatul nak bagi coklat pada anak-anak kecil yang mengemis, mungkin juga kita boleh bagi buku.

Antara cadangan penambahbaikan Kak Amal adalah kalau nak buat penerangan atau ayat hebahan tentang projek, biar informasinya jelas. Sebab ramai orang yang mungkin nak sertai tapi tak dapat mesej clear apa rancangan projek. Kak Sadiqa antara mangsanya, awal-awal dia ingat yang projek ini kita yang kutip sampah. >< Haha, penting ya kawan-kawan ayat hebahan tu.

Banyak lagi yang kawan-kawan kongsi dalam sesi muhasabah itu. Sama ada saya saja yang tak fokus atau terlepas pandang. Setiap hikmah itu penting untuk disimpan dalam tulisan. Semoga dapat membuahkan amal.

Semoga pertemuan kita diberkati. Perpisahan kita dilindungi.

Sekian-menulis-dengan-mata-barai-tapi-tulis-jugak-takut-lupa.

Update Projek

Sistem dunia yang terhenti.

Hari itu sistem dunia terasa seperti terhenti semuanya.

Kalau digambarkan sebagai binaan, habis tertutup segala penjuru dengan dinding dan atap, tanpa pintu dan tingkap.

Kalau digambarkan sebagai kapal layar, ia tersangkut di tengah laut, tanpa enjin, mahu diharapkan angin, tapi yang berdengung banyaknya ribut.

Kalau digambarkan sebagai jalan raya, di depannya gaung maut, di belakangnya ada hutan yang sedang marak terbakar. Mana-manapun dituju tetap sama. Badal nyawa.

Pendek kata jalan keluar tiada, bekal usaha buat kali kedua sudah habis, jalan yang disebut masa depan persis perangkap maut, yang menolak untuk terus bergerak dari belakang tak ubah seperti api membakar, liar, rakus, panas dan memusnahkan.

Pernahkah kita semua merasakan keadaan ini?

Boleh jadi saja.. Majoriti kita pernah.

Sengaja menulis gambaran se-ekstrem ini, pointnya untuk beritahu bahawa perasaan sebegitu ada masanya benar-benar ada.

Tapi sistem dunia tidak akan terhenti. Selagi Tuhan yang Maha Kuasa itu ada.

Andai kudrat kita tak mampu lagi menanggung kebuntuan rasa, moga tidak turut mematikan rasa percaya kita pada kudrat Tuhan.

Al Fattah itu ada buat dunia yang terasa tertutup.

Al Muin itu ada buat menuntun apa yang tak mampu diteruskan.

Al Alim itu ada buat memohon dalam kebingungan.

Al Latif itu ada buat menukar segenap derita menjadi belaian.

Dan semua nama-namaNya masih ada untuk menjalankan dunia kita yang dirasakan terhenti itu.

Nama-namaNya menjadi bintang-bintang, petunjuk jalan buat kegelapan pandangan kita.

Kata ahli Sufi, jiwa manusia itu adalah dunianya.

Dunia tidak terhenti jika jiwa masih mahu bernyawa.

Sekadar coretan untuk yang istimewa.